Persekutuan Pengakap Malaysia 01 Seremban Timur Negeri Sembilan ||| Sekolah Menengah Kebangsaan King George V Jalan Zaaba 70100 Seremban Negeri Sembilan Malaysia
DALAM PEMBINAAN
Computer man
Datang mu x diundang ... Jika ragu silalah pulang

SEGALA KIRIMAN ADALAH UNTUK AHLI #PENGAKAP01 KECUALI DINYATAKAN SEBALIKNYA

PERIHAL BENDERA MALAYSIA

SEJARAH BENDERA PERSEKUTUAN TANAH MELAYU

Sejarah penerimaan Bendera Persekutuan Tanah Melayu ialah melalui perjanjian dengan Majlis Raja-Raja di mana sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan dalam tahun 1949 untuk menimbang dan membuat perakuan berhubung dengan rekabentuk Bendera.

Satu pertandingan peringkat kebangsaan telah diadakan bagi memilih Bendera Persekutuan Tanah Melayu yang baru. Pertandingan ini diadakan oleh Majlis Perundangan Persekutuan dalam tahun 1949. Sebanyak 373 karyawan telah mengambil bahagian di mana tiga rekabentuk bendera telah terpilih ke peringkat akhir.

Rekabentuk pertama ialah lambang keris bersilang di tengah-tengah dengan dikelilingi oleh 11 bintang pecah lima.

Rekabentuk kedua hampir serupa dengan rekabentuk pertama tetapi 11 bintang pecah lima itu disusun dalam dua bulatan mengelilingi keris bersilang itu.

Rekabentuk ketiga ialah 11 jalur biru dan putih dengan bulan dan bintang berwarna kuning di bahagian tepi kiri.

Majlis Perundangan Persekutuan menjemput orang ramai memberikan pendapat kepada ketiga-tiga rekabentuk tersebut. Pendapat umum itu telah dikelolakan oleh akhbar The Malay Mail. Keputusan akhir yang disiarkan pada 29 November 1949 menunjukkan majoriti orang telah memilih rekabentuk ketiga. Rekabentuk tersebut adalah ciptaan seorang Arkitek Kerajaan di Johor iaitu En. Mohamad bin Hamzah.


Rekabentuk tersebut telah dibuat beberapa pindaan dan telah diperkenankan Mesyuarat Majlis Raja-Raja pada 22 dan 23 Februari 1950. Pada 19 April 1950, Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul yang dibentangkan oleh Pemangku Ketua Setiausaha Negara seperti berikut:

"That in the opinion of this Council the Flag of the Federation of Malaya should be as follows:-  Eleven horizontal stripes alternately red and white in colour, the uppermost stripe being red, having a blue quarter with a cresent and eleven pointed star in yellow superimposed, the standard size of the flag to be six feet by three feet."

Rekabentuk bendera tersebut telah mendapat kelulusan King George VI pada 19 Mei 1950. Pertama kali Bendera Persekutuan Tanah Melayu dikibarkan ialah dalam satu majlis menaikkan bendera tersebut yang dianjurkan oleh Pesuruhjaya Tinggi British pada 26 Mei 1950 di perkarangan Istana Sultan Selangor dengan dihadiri oleh DYMM Raja-Raja Melayu dan Pegawai-pegawai King George VI.


SEJARAH BENDERA MALAYSIA

Bendera Malaysia adalah berasal dari Bendera Persekutuan Tanah Melayu. Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu dan Tuan-Tuan Yang Terutama Gabenor-Gabenor dalam satu Persidangan Majlis Raja-Raja menjelang pembentukan Malaysia telah memperkenankan rekabentuk Bendera Malaysia yang mengikut rekabentuk Bendera Persekutuan Tanah Melayu dengan pengubahsuaian pada bilangan jalur-jalur dan bintang pecah 14 bagi menunjukkan 14 buah negeri baru bagi Persekutuan Malaysia.

Percantuman Sabah, Sarawak dan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu telah melahirkan sebuah negara baru - Malaysia. Bendera Malaysia telah dikibarkan dengan rasminya di seluruh negara untuk melambangkan lahirnya Malaysia pada 16 September 1963.

Sungguhpun Singapura berpisah daripada Malaysia pada 9 Ogos 1965, namun jalur-jalur dan bintang pecah 14 terus dikekalkan hingga sekarang.


SEJARAH JALUR GEMILANG

JALUR GEMILANG adalah nama Bendera Malaysia yang telah diisytiharkan oleh Yang Amat Berhormat Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia pada malam 31 Ogos 1997 sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-40 di Dataran Merdeka.


MAKSUD JALUR GEMILANG 

JALUR- menggambarkan Bendera Malaysia yang mempunyai 14 jalur merah dan putih. Oleh itu, lambang jalur pada Bendera Malaysia menggambarkan satu laluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama yang dianuti oleh rakyat negara ini dari Perlis hingga ke Sabah dalam menuju kegemilangan bangsa dan negara.

GEMILANG- bermaksud bercahaya, terang benderang dan cemerlang. Oleh yang demikian, Bendera Malaysia Jalur Gemilang memberi pengertian bahawa jalur atau bendera itu melambangkan kecemerlangan negara Malaysia dan rakyat Malaysia dalam mengharungi apa bidang kehidupan sekalipun sama ada di dalam atau di luar negara.

Kesungguhan, kegigihan dan kesanggupan rakyat untuk menaikkan imej negara, sesungguhnya sentiasa mendapat petunjuk dan pedoman yang terang lagi jelas.

Jalur atau Bendera melambangkan citra atau imej negara dan rakyat yang patriotis, gigih, gagah dan berani menghadapi cabaran serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan negara. Warna merah melambangkan gagah dan berani menghadapi cabaran. Warna putih melambangkan keluhuran budi dan warna biru melambangkan rakyat yang bersatu padu dan hidup rukun damai. Warna kuning pula melambangkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan negara.


SUSUNAN KEUTAMAAN

Susunan Keutamaan bendera-bendera ialah seperti berikut:

    1. Bendera Malaysia Jalur Gemilang
    2. Bendera Negeri-Negeri (mengikut susunan keutamaan)
    3. Bendera Wilayah (Susunan Keutamaan mengikut tarikh wilayah diwujudkan)
    4. Bendera Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan
    5. Bendera Pertubuhan dan Persatuan
    6. Bendera Syarikat

Keutamaan Jalur Gemilang dan Bendera Negeri-Negeri ditentukan mengikut Susunan Keutamaan DYMM Raja-Raja Melayu dan TYT Yang di-Pertua Negeri (Perkara 70 Perlembagaan Persekutuan).

Susunan Seperti di bawah BERKUATKUASA 13 DISEMBER 2016 sempena pelantikan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-15 berlangsung pada 13 Disember 2016. Susunan ini berubah sekiranya berlaku pertukaran dalam Susunan Keutamaan disebabkan adanya perlantikan baru.


1. MALAYSIA

2. KEDAH

3. PAHANG

4. TERENGGANU

5. PERLIS

6. SELANGOR

7. NEGERI SEMBILAN

8. JOHOR

9. PERAK

10. KELANTAN

11. PULAU PINANG

12. MELAKA

13. SABAH

14. SARAWAK

15. WILAYAH PERSEKUTUAN KUALA LUMPUR

16. WILAYAH PERSEKUTUAN LABUAN

17. WILAYAH PERSEKUTUAN PUTRAJAYA


SUSUNAN DAN KEDUDUKAN BENDERA MALAYSIA APABILA DIKIBARKAN

Dua bendera di majlis peringkat Persekutuan yang diadakan dalam negeri



Dua bendera di majlis peringkat negeri di negeri yang berkenaan



Tiga bendera di majlis peringkat Persekutuan yang diadakan dalam negeri



Tiga bendera di majlis peringkat negeri di negeri



2 bendera bersilang (bendera Malaysia hendaklah diletakkan di sebelah kiri dan di atas bendera yang lain


3 bendera bersilang (tiangnya diletakkan terkeatas dari bendera yang lain. Bendera negeri diletakkan di sebelah kiri manakala bendera swasta di sebelah kanan.)



Susunan Semasa Lawatan Rasmi Tetamu Negara (sebagai penghormatan)