Persekutuan Pengakap Malaysia 01 Seremban Timur Negeri Sembilan ||| Sekolah Menengah Kebangsaan King George V Jalan Zaaba 70100 Seremban Negeri Sembilan Malaysia
DALAM PEMBINAAN
Computer man
Datang mu x diundang ... Jika ragu silalah pulang

SEGALA KIRIMAN ADALAH UNTUK AHLI #PENGAKAP01 KECUALI DINYATAKAN SEBALIKNYA

BERKHEMAH TIDAK KURANG DARI 8 MALAM

Menyediakan sebuah buku log perkhemahan yang mengndungi butiran-butiran berikut bagi setiap perkhemahan:

1. Tajuk perkhemahan
2. Tarikh
3. Lokasi
4. Senarai ahli patrol
5. Senarai alatan patrol
6. Laporan harian
7. Lakaran pandangan dari atas kawasan tapak perkhemahan (satu mukasurat penuh)
8. Pengalaman peribadi menyertai perkhemahan (tidak kurang dari setengah mukasurat)
9. Cadangan untuk perkhemahan akan datang
10. Gambar-gambar semasa aktiviti
11. Salinan ijil (jika ada)


CONTOH LAPORAN HARIAN



NOTA TAMBAHAN
Pengakap merupakan unit beruniform yang tertua di Malaysia serta ditubuhkan sebelum kemerdekaan Tanah Melayu lagi. Ilmu-ilmu kepengakapan diperturunkan dari generasi ke genarasi secara tersusun dan mempunyai struktur pentadbirannya yang tersendiri. 

Sehubungan dengan itu, Persekutuan Pengakap Malaysia Kumpulan 01 Seremban Timur berhasrat mengadakat perkhemahan tiga hari dua malam di sekolah. Ahli pengakap akan didedahkan dengan ilmu asas perkhemahan dan sekaligus mereka berpeluang menambah koleksi Lencana Kepandaian dan Lencana Kemahiran mengikut bidang masing-masing.

Ahli Pengakap juga dilatih agar hidup bersosial secara sihat dan pada masa yang sama tidak meminggirkan keperluan rohani melalui aktiviti-aktiviti yang disusun padat dan kemas. Adalah diharapkan ahli pengakap akan terus berdidiplin dan bijak mengurus masa seterusnya menjadi warganegara Malaysia yang berketrampilan serta berhemah mulia.


A. MATLAMAT
1. Merealisasi serta mempraktikan Persetiaan dan Undang-Undang Pengakap pada setiap masa dan di mana mana jua;
2. Menambah pengetahuan dan mempertingkatkan kemahiran kePengakapan;
3. Membentuk ahli Pengakap yang berdisiplin tinggi dan memiliki jatidiri yang mantap;
4. Mengeratkan hubungan persaudaraan Pengakap dikalangan ahli-ahli


B. OBJEKTIF
1. PEMBELAJARAN menerusi cara yang seronok dan lasak
2. PEKEMBANGAN kebolehan dan minat yang baru
3. PERKONGSIAN bersama rakan sebaya
4. PERTOLONGAN kepada orang lain
5. PERKHIDMATAN kepada masyarakat
6. BEKERJASAMA dalam pasukan
7. MENIKMATI kehidupan alam semulajadi
8. KEYAKINAN terhadap diri sendiri
9. BERTANGGUNGJAWAB kepada amanah yang diberi
10. KEKREATIFAN akal fikiran
11. KEPERCAYAAN terhadap diri sendiri


C. PEMILIHAN TEMPAT
Banyak tempat yang menarik di negara kita yang boleh dijadikan kawasan untuk berkhemah bagi sesebuah kumpulan. Tempat yang biasa menjadi pilihan ialah seperti di tepi pantai, tepi sungai, tepi tasik, kawasan pergunungan dan kawasan hutan. Pemilihan tempat adalah sesuatu yang amat penting kerana ia menjadi faktor utama keselesaan sesuatu aktiviti perkhemahan itu. Antara yang perlu diteliti semasa memilih tempat ialah :


1. KESELAMATAN
Keselamatan peserta dan harta benda merupakan aspek yang terpenting yang perlu diambil kira. Keselamatan diri daripada bahaya-bahaya seperti kemungkinan tanah runtuh, serangan binatang buas, dan sebagainya haruslah diberi perhatian yang serius kerana ia melibatkan nyawa peserta. Kawasan tapak perkhemahan haruslah mempunyai ruang yang cukup untuk bermain, bergerak, berehat, serta kawasan yang lapang untuk tapak perhimpunan. 

Kawasan yang sempit boleh mengundang kepada kecelakaan dan kemalangan. Antara lain yang perlu diambil perhatian ialah seperti memikirkan kemungkinan berlakunya bencana alam seperti banjir, ribut, tanah runtuh dan sebagainya. Keselamatan peserta semasa perjalanan ke tempat tapak perkhemahan juga dianggap penting. Oleh itu, taklimat perlu diberikan kepada peserta bagi mengatasi dan memudahkan bertindak semasa berlakunya kesesatan atau kecemasan ketika berada di dalam hutan atau di tapak perkhemahan tersebut.


2. KEMUDAHAN ASAS
Tempat yang ingin dijadikan tapak perkhemahan seharusnya mempunyai kemudahan asas. Kemudahan asas ini ialah seperti bekalan air bersih yang berdekatan. Bekalan air yang bersih sebagai contohnya ialah daripada aliran sungai, danau, telaga, air terjun dan daripada sumber pili atau paip. 

Tujuannya adalah supaya senang untuk mandi dan membasuh selain menjadi sumber minuman. Selain daripada bekalan air, kawasan perkhemahan juga mestilah terletak dekat dengan kawasan yang mudah untuk mendapatkan bekalan kayu dan bahan api yang banyak. Kemudahan lain yang perlu ada ialah seperti jalan perhubungan dan sebagainya.


3. LOKASI MENARIK/SELESA
Keseronokan merupakan salah satu daripada matlamat pekhemah Sehubungan itu, pemimpin seharusnya meneliti semasa memilih sesuatu tempat supaya matlamat itu tercapai. Biasanya kawasan seperti di tepi pantai, sungai, dan tasik merupakan kawasan yang menarik dan menjadi pilihan utama untuk diadakan perkhemahan.

Kawasan yang sangat sesuai untuk berkhemah ialah kawasan yang berada di kawasan yang agak tinggi. Jangan berkhemah di tempat yang mempunyai tanda-tanda pertumbuhan rumput. Ini sedikit sebanyak akan menyukarkan peserta untuk mendirikan khemah dan untuk beraktiviti di kawasan tersebut. Kawasan perkhemahan juga haruslah berdekatan dengan kawasan bandar kerana mempunyai sistem pengangkutan yang baik dan sempurna. 

Kawasan yang bertanah lembap pula tidak sesuai untuk berkhemah. Selain itu juga, kawasan tapak perkhemahan haruslah diperiksa terlebih dahulu supaya bebas daripada serangga-serangga yang boleh mengganggu semasa berkhemah. Seorang ahli perkhemahan yang mahir dan baik seharusnya memeriksa kawasan perkhemahan terlebih dahulu sebelum mengadakan aktiviti perkhemahan.


4. MENDAPAT KEBENARAN
Seharusnya beberapa kebenaran perlu diperoleh sebelum diadakan sesuatu perkhemahan. Antaranya ialah seperti surat-surat permohonan kebenaran yang perlu dihantar sekurang-kurangnya 2 bulan daripada tarikh perkhemahan. Pemimpin boleh menelefon pihak tertentu terlebih dahulu untuk memohon kebenaran menggunakan tapak perkhemahan. 

Selepas itu, surat permohonan rasmi perlu dihantar kepada pihak berkenaan. Antara kebenaran lain yang perlu ialah seperti kebenaran pengetua atau penganjur, kebenaran pemilik tapak perkhemahan, kebenaran ibubapa penjaga dan lain-lain kebenaran jika perlu.


5. PERANCANGAN AKTIVITI
Pemimpin atau pihak penganjur seharusnya menetapkan aktiviti yang hendak dijalankan dalam sesuatu perkhemahan. Penganjur seharusnya menyenaraikan aktiviti tersebut supaya sesuai dengan objektif perkhemahan tersebut. Aturcara serta aktiviti yang dirancang dengan teliti dapat menghasilkan perkhemahan yang menyeronokkan serta dapat dijalankan dengan lancar dan teratur. Antara contoh jadual aturcara yang boleh digunakan ialah seperti berikut.


6. PERSIAPAN AKHIR
Lebih kurang tujuh hari sebelum diadakan sesuatu perkhemahan, ketua atau jawatankuasa tertinggi haruslah menyelesaikan persiapan terakhir. Persiapan terakhir ini sangat perlu bagi memastikan semua perancangan yang dilakukan sebelum ini dapat dijalankan dengan lancar. Di antara perancangan akhir termasuklah menyemak persiapan awal, mesyuarat akhir, taklimat kepada peserta, dan persiapan alatan.

Mesyuarat dilakukan bagi membincangkan beberapa perkara seperti pembahagian tugas, menyemak kembali alatan yang hendak dibawa dan seterusnya menyelesaikan beberapa masalah yang mungkin timbul sepanjang persediaan yang dilakukan.


7. TAKLIMAT PESERTA
Satu taklimat khas tentang perkhemahan harus diadakan. Semua peserta diwajibkan hadir dalam taklimat tersebut. Taklimat ini juga harus merangkumi taklimat keselamatan, taklimat aktiviti dan lain-lain. Peserta juga haruslah didedahkan dengan gambaran sebenar perkhemahan secara ringkas seperti tempat, tujuan perkhemahan, aktiviti yang akan dijalankan, penyertaan, dan program secara menyeluruh. 

Dalam taklimat keselamatan pula, langkah-langkah keselamatan yang perlu diberi perhatian oleh peserta harus diterangkan. Ini untuk memberi persediaan mental dan emosi kepada semua peserta. Peraturan-peraturan perkhemahan juga harus diterangkan secara terperinci walaupun peserta sudah kerap menghadiri perkhemahan.


8. PERALATAN INDIVIDU/KUMPULAN 
Peralatan untuk berkhemah seperti khemah, peralatan kerja dan memasak seharusnya disediakan terlebih awal. Bilangan, kepadatan dan berat peralatan yang dibawa bergantung kepada pemilihan peralatan yang mustahak dan serbaguna diutamakan. Peralatan serta barang yang hendak dibawa haruslah disenaraikan setelah kawasan perkhemahan itu ditetapkan. Setiap peserta seharusnya membawa peralatan masing-masing. Bilangan bagi setiap jenis peralatan yang dibawa bergantung kepada jumlah hari berkhemah dan kemudahan tertentu.

Antara peralatan yang boleh dibawa oleh individu ialah :
a) Pakaian seperti baju, seluar tuala dan kelengkapan diri yang mencukupi.
b) Peralatan mandi
c) Kompas
d) Wisel
e) Lampu suluh
f) Mancis dan pisau
g) Pinggan dan mangkuk
h) Pen dan buku catatan
i) Lain-lain peralatan

Bagi peralatan kumpulan pula ialah seperti :
a) Khemah
b) Skop dan cangkul
c) Parang
d) Tali
e) Kotak pertolongan cemas
f) Lampu gaslin
g) Baldi
h) Alatan untuk aktiviti
i) Lain-lain peralatan


9. PERATURAN PERKHEMAHAN

1) Kawasan perkhemahan hendaklah sentiasa bersih.

2) Jaga keadaan alam sekeliling dan jimatkan air. Tumbuh-tumbuhan mestilah dipelihara dan elakkan daripada menebang pokok yang berhampiran.

3) Semua peralatan perkhemahan seharusnya dijaga dengan rapi, diletakkan di tempat khusus dan dilaporkan kepada pemimpin bertugas sekiranya berlaku kehilangan atau kerosakan.

4) Semua barang beharga mesti disimpan di tempat yang selamat.

5) Semasa istiadat rasmi seperti pemeriksaan pagi dan upacara menaikkan bendera, semua peserta seharusnya memakai pakaian seragam yang lengkap.

6) Semua peserta mesti mengikut setiap aktiviti yang telah ditetapkan.

7) Semua peserta tidak dibenarkan keluar dari kawasan perkhemahan tanpa kebenaran daripada pemimpin bertugas. Jika seseorang peserta harus keluar dari kawasan perkhemahan, catatan seharusnya dibuat. Contohnya nama peserta, masa keluar, dijangka tiba, tempat dituju dan tujuannya.

8) Semua peserta tidak dibenarkan masuk ke kawasan larangan yang tertentu, seperti kawasan perkhemahan perempuan dan kawasan yang ditetapkan oleh jawatankuasa pengelola.

9) Jika terdapat peserta yang sakit atau tercedera, pemimpin bertugas atau pegawai pertolongan cemas seharusnya diberitahu.

10) Peserta mesti mengikuti arahan dan perintah yang diberikan oleh pemimpin dan ketua kumpulan.

11) Semua aktiviti seharusnya dilakukan mengikut sistem yang telah ditetapkan.

12) Senyap selepas lampu dipadamkan.

13) Undang-undang pengakap dan undang-undang pandu puteri adalah undang-undang perkhemahan.


10. ADAB ATAU PERATURAN SEBELUM PERKHEMAHAN
1) Mendapatkan surat kebenaran daripada tuan tanah atau kem warden secara bertulis.

2) Mendapatkan surat kebenaran daripada ibubapa , penjaga sekurang-kurangnya seminggu sebelum bertolak.

3) Memaklumkan kepada pemimpin kumpulan berkenaan tarikh, tempat, bilangan ahli.

4) Memastikan terdapat sekurang-kurangnya seorang pemimpin turut serta dalam perkhemahan.

5) Tinjauan awal pemimpin bagi memastikan keselamatan tapak perkhemahan adalah mustahak (bukit, curam, binatang buas, jenayah dan lain-lain lagi). Tapak perkhemahan mestilah bersih dan jauh daripada bahaya. Jika perlu beritahu pihak polis berkaitan perkhemahan itu untuk langkah berjaga-jaga.

6) Memastikan terdapat sumber air yang bersih (air paip atau perigi) dan kemudahan-kemudahan lain.

7) Mengadakan satu unit pasukan pertolongan cemas dengan kelengkapannya untuk bertanggungjawab atas sebarang kecederaan kecil.

8) Memastikan segala alatan seperti pisau, parang, kapak dan lain-lain tersimpan dengan baik dan selamat.

9) Sepanjang perkhemahan, seorang pemimpin dimestikan bertugas di pusat untuk menguruskan ahli yang bertugas harian. Ia juga akan menjadi penasihat kepada semua peserta perkhemahan.

10) Semua ahli perkhemahan hendaklah mengikut dan mematuhi peraturan-peraturan perkhemahan.

11) Menghadiri taklimat perkhemahan.

12) Menyediakan peralatan perkhemahan selengkapnya.


11. ADAB ATAU PERATURAN SEMASA PERKHEMAHAN
1) Berhati-hati dan jangan bermain atau bergurau dengan menggunakan pisau dan kapak.

2) Apabila keluar dari khemah, mestilah memakai kasut yang sesuai supaya kaki tidak tercedera terkena benda-benda tajam yang terdapat di atas tanah.

3) Jangan bermain api di merata-rata tempat sesuka hati anda kerana hal ini mungkin akan mengakibatkan kebakaran.

4) Semasa mencari kayu hendaklah sentiasa mengikut langkah-langkah keselamatan yang telah diterangkan dalam taklimat sebelum menghadiri perkhemahan ini.

5) Khemah tidak seharusnya didirikan di bawah atau berdekatan dengan pokok.

6) Belerang mestilah ditabur di sekeliling khemah untuk mengelakkan ular dan haiwan berbisa yang lain. Hal ini biasanya dilakukan pada waktu malam, dan mestilah ditabur pada setiap malam perkhemahan.

7) Tin-tin makanan hendaklah dileperkan sebelum ditanam. Sampah sarap dibakar pada setiap petang untuk mengelakkan kehadiran haiwan yang tidak diingini menghidu bau sisa-sisa makanan.

8) Semasa berjalan berhampiran khemah pada waktu malam, gunakan lampu suluh yang terang, iaitu yang kuat kuasanya dan berhati-hatilah supaya anda tidak tersepak kayu penyacak dan tali pengikat khemah semasa berjalan.

9) Sebelum melakukan penerokaan tentukan bahawa hujung tali dan bahagian-bahagian yang berjerumbai atau yang hampir putus dibaiki.Ini bertujuan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

10) Sentiasa gunakan budi bicara dan berfikiran secara waras atas segala perbuatan yang hendak dilakukan itu.

11) Menggunakan kod rahsia sewaktu berjaga pada waktu malam.


12. ADAB ATAU PERATURAN SELEPAS PERKHEMAHAN
1) Jelaskan semua bayaran bil dan bayaran tertentu

2) Runtuhkan semua gejek dan pagar.

3) Kemaskan peralatan individu dan masukkan ke dalam pack.

4) Turunkan semua khemah dan kemaskan.

5) Susun semua peralatan kumpulan di suatu tempat.

6) Semak semula kawasan aktiviti untuk pastikan tiada barang yang tertinggal.

7) Mengutip semua sampah sarap yang tertinggal semasa aktiviti.

8) Pakai pakaian seragam untuk istiadat penutupan atau balik ke rumah masing- masing.

9) Kawasan perkhemahan harus dibersihkan sehingga lebih bersih daripada sebelum digunakan.

10) Ucapkan terima kasih kepada tuan punya tanah, jika kawasan perkhemahan itu ada penjaganya.

PLATFOM MEDIA SOSIAL 01 SEREMBAN TIMUR

TWITTER FACEBOOK INSTAGRAM TELEGRAM